Memiliki anak perempuan pasti berbeza dengan anak lelaki. Lebih-lebih lagi apabila anda mempunyai hanya seorang anak perempuan sahaja. Bagi kaum ibu, anak perempuan lebih dekat dengan mereka. Anak perempuan ini bagaikan cermin bagi diri mereka. Pasti boleh berkongsi minat yang sama, bakat yang sama dan pendapat yang sama. Bagai kawan baik!
Artikel ini akan berkongsi 10 perkara yang patut anak perempuan anda tahu sebaik sahaja mereka berusia 10 tahun. Penting bagi ibu bapa mengetahui perkara ini kerana bak kata pepatah, “pelajaran terbaik bermula dari rumah”.
1. Betapa anda menyayanginya
Tidak kira sebanyak mana anda berselisih pendapat dengannya, segarang manakah anda atau sesibuk mana pun, pastikan dia tahu, dia adalah insan yang terpenting bagi anda.
2. Bagaimana untuk memasak
Lumrah perempuan, perempuan sepatutnya tahu memasak walau jenis masakan yang terpaling mudah. Mudah untuk persediaan apabila dewasa. Sebaik sahaja berumur 10 tahun, anak perempuan anda sepatutnya sudah pandai menyediakan makanan yang mudah seperti roti bakar, telur dan sandwich.
Teringat sewaktu kecil, ibu saya sering membenarkan saya bermain dengan lebihan bahan masakannya. Saya akan berangan bagai sedang memasak. Lama kelamaan, menjelang 10 tahun, alhamdulillah saya sudah pandai menggoreng sayur yang mudah. Waktu itu, seronok sangat perasaan. Bagaikan saya sudah mampu menggalas tanggungjawab yang besar.
3. Perubahan tubuh badan dan apa patut mereka tahu
Perubahan fizikal anak perempuan masih menjadi taboo dalam masyarakat kita. Kebanyakan ibu bapa segan untuk mendedahkan anak perempuan mereka berkenaan isu ini dan berharapkan guru di sekolah. Lebih baik sekiranya ibu bapa menjelaskan sendiri perkara ini berbanding mereka mendapat tahu sendiri dari kawan-kawan. Dikhuatiri, maklumat yang mereka peroleh sendiri adalah salah dan bersifat negatif.
Dedahkan pada anak perempuan anda, satu hari nanti, mereka akan datang haid. Waktu itu menandakan mereka sudah dewasa. Saya sendiri semasa kali pertama didatangi haid, berasa takut dan terkejut. Saya yakin, sekiranya saya diberi pendedahan lebih awal, saya akan lebih mudah menerima dan mengawal situasi tersebut.
Dedahkan pada anak perempuan anda akan perubahan fizikal yang akan berlaku dan ingatkan pada dia jangan benarkan sesiapa menyentuh tubuh badannya walaupun ahli keluarga lain.
4. Batas-batas agama
Ramai ibu bapa percaya, agama biarlah anak-anak belajar disekolah. Sedangkan, seelok-eloknya, ibu bapa sendiri mendidik anak perempuan mereka akan batas-batas agama. Ibu bapa perlu menitikberatkan isu solat, aurat dan batas-batas pergaulan.
Tekankan pada pada anak perempuan anda, tengtang betapa pentingnya menjaga nilai agama. Saya percaya, dengan teguhnya ajaran Islam dan iman sejak kecil, anak perempuan anda akan lebih pandai menjaga diri di luar nanti. Beliau akan lebih pandai membezakan mana yang baik, dan mana yang buruk.
Kita pasti tidak mahu anak perempuan kita menjadi seperti orang lain yang hanya Islam pada nama. Mereka lahir dalam Islam, tetapi nilai Islam tidak diketahui akibat kecuaian ibu bapa dan masyarakat sekelilingnya.
Namun begitu, kita perlu ingat, jangan hanya sekadar mendidik, kita juga harus menjadi contoh yang baik pada mereka. Barulah lebih mudah untuk mereka ikuti. Saya percaya, anak merupakan cermin pada diri kita.
5. Hakikat kehidupan
Usia 10 tahun sudah cukup untuk mereka mengetahui hakikat sebenar kehidupan. Tidak perlu isu yang berat dan terperinci. Cukuplah sekadar yang dapat mereka fahami. Sebagai contoh, isu Palestin di Gaza. Saya berpendapat, anak-anak tidak seharusnya diabaikan untuk memahami isu ini hanya kerana mereka dianggap masih muda. Jelaskan apa sebenarnya yang berlaku, dan berikan mereka ruang untuk menyatakan pendapat mereka berkenaan isu ini.
6. Tidak semua bernasib baik sepertinya
Anak perempuan anda patut tahu bahawa tidak semua orang bernasib baik sepertinya. Tidak semua rakan sebaya dengannya pernah merasa makan malam di restoran. Tidak semua rakan sebayanya mempunyai baju sekolah hampir 3 pasang. Tidak semua orang mempunyai anggota badan yang cukup sepertinya.
Galakkan mereka bersedekah walaupun 20 sen sama ada di masjid, surau, tabung kemanusian atau dimana sahaja. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, saya sukakan cara ibu saya menggalakkan kami bersedekah. Apabila ke masjid atau pasar, beliau akan memberikan saya wang untuk dimasukkan ke dalam tabung tersebut sambil menjelaskan kebaikan menderma.
Lama kelamaan, saya sendiri terdorong untuk meletakkan sedikit dari wang perbelanjaan sekolah saya. Kepuasan kerana dapat menderma dengan wang sendiri tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Latih anak anda bersifat sering ingin membantu walaupun rakan sebaya mereka dalam kesusahan.
Sesekali di hujung minggu, bawa anak perempuan anda ke rumah anak yatim, rumah orang tua atau zoo untuk menjadi sukarelawan. Selain dapat menghabiskan masa berkualiti bersamanya, anak anda akan memperoleh pengalaman baru sekaligus memupuk sifat suka membantu dalam diri mereka. Mulakan dengan perbuatan kecil pun tidak mengapa. Sebagai contoh, setiap kali lepas makan di restoran, cuba untuk mengemas serba sedikit agar memudahkan pelayan restoran mengangkatnya nanti.
Jika kita lakukannya, pasti anak-anak akan turut mengikut. Ingatkan pada anak-anak “sekiranya kita sering membantu atau memudahkan urusan orang lain, inshaAllah di masa hadapan Allah akan membantu dan memudahkan urusan kita melalui orang lain”. Ingat, pelayan restoran juga adalah manusia. Jadi tidak ada salahnya kita boleh meringankan beban mereka.
Daripada Mus’ab bin Abu Waqas r.a katanya: “Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang lain”. Maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Kamu tidak ditolong dan diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah (dikalangan kamu).” – hadith riwayat Bukhari
7. Setiap kemahuan harus diiringi dengan usaha
Akhir-akhir ini, saya dapati anak-anak sering dilimpahi dengan pelbagai kemewahan. Umur masih belum genap setahun, tetapi masing-masing mempunyai ipad tersendiri. Mewah. Apa sahaja yang diminta, pasti akan dipenuhi ibu bapa. Bukan kesalahan sebenarnya, memenuhi permintaan anak.
Kita sebagai ibu bapa, pasti mahukan yang terbaik buat mereka. Kita pasti mahukan mereka menikmati perkara yang tidak mampu kita perolehi dulu. Tidak salah. Tetapi secara peribadi saya berpendapat, anak-anak perlu dijelaskan bahawa bukan mudah untuk mencari rezeki.
Didik anak-anak untuk menabung sejak kecil demi membeli barang yang mereka mahu. Apabila wang belanja sekolah diberi, galakkan mereka menyimpan sebahagian dari wang tersebut untuk masa hadapan. Selain itu, hadiahkan barang impian mereka, hanya apabila mereka berjaya mencapai pencapaian tertentu.
Sebagai contoh, hadiahkan basikal apabila mereka berjaya khatam 30 juzuk al-Quran, atau apabila memperoleh No 1 dalam pelajaran. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih kuat berusaha. Jadikan mereka rasa bahawa setiap usaha mereka berbaloi dan membanggakan kita.
8. Penampilan adalah penting
Dia seharusnya tahu berkenaan bagaimana untuk menjaga penampilan dan pakaian yang sesuai untuk majlis atau acara tertentu. Sewaktu kecil, saya sering dipengaruhi dengan gaya dan penampilan abang-abang saya. Saya sering memberontak setiap kali dipakaikan baju kurung, kerana hati kecil saya terasa mahu memakai seluar dan t-shirt seperti abang-abang saya.
Namun setelah dinasihatkan dengan lemah lembut oleh ibu saya, lama kelamaan saya boleh menerima bahawa saya tidak sesuai berpakaian seperti mereka. Berbincang dengan lemah lembut dan bertolak ansur dengan anak perempuan anda pasti boleh membuatkan mereka mudah menerimanya. Jangan dipaksa! Hati mereka akan mudah tersentuh dan mereka akan lebih terdorong untuk memberontak.
9. Pengaruh rakan sebaya
Lumrah perempuan, pasti akan ada banyak disertai drama. Beritahu anak perempuan anda supaya menjauhi kumpulan yang sibuk bercerita berkenaan orang lain, kerana mereka pasti akan bercakap mengenai dia juga.
Pupuk sifat yakin pada diri dan tegas dengan pendirian beliau. Dengan cara ini, anak perempuan anda tidak akan mudah terikut-ikut dengan rakan sebaya. Seawal sekolah dahulu, saya sendiri mempunyai kawan yang gemar mengajak saya ponteng sekolah dan merokok!
Sekiranya anak perempuan kita tidak tegas pendirian, dia pasti akan mudah mengikut ajakan rakan. Jangan terlupa, anak-anak penuh dengan sifat ingin tahu. Tidak mustahil mereka akan mudah terpengaruh hanya kerana sifat ingin tahu yang kuat. Didik anak perempuan anda supaya berani untuk melaporkan salah laku atau kes buli yang extreme berlaku disekelilingnya.
10. Hidup, bukanlah mudah
Anak perempuan anda perlu tahu, akan banyak cabaran yang perlu dia hadapi semakin dia menginjak dewasa. Ada anak perempuan, yang kelihatan tidak sabar untuk menjadi dewasa. Sedangkan jauh sekali merek ketahui, hidup ini tidaklah seindah yang disangka. Hidup ini bagaikan roda, kadang kala kita berada di atas, dan kadang kala kita berada di bawah.
Didik mereka supaya sering bersyukur, dan menghargai nikmat yang ada disekelilingnya sekarang – kerana kita tidak tahu, selama manakah Allah meminjamkan nikmat tersebut pada kita. Pastikan mereka tahu, mereka harus sentiasa bersedia dengan dugaan yang bakal ditempuh, kerana dugaan tersebut datangnya kerana kasihnya Allah pada diri kita.
Mengetahui 10 perkara ini membolehkan anak perempuan anda memulakan zaman awal remaja dengan permulaan yang baik. Dengan keadaan zaman serba moden ini, anak-anak perempuan berada di luar rumah walau seketika pun mampu membuatkan ibu bapa berasa risau dan susah hati. Kerana kita sebagai ibu bapa pun tahu betapa bahayanya di luar sana.
Tetapi tidak realisitik sekiranya kita mahu mengongkong dan menyekat kebebasan mereka setiap masa kerana ini akan membuatkan mereka lebih memberontak. Oleh itu, persiapkan anak anda dengan ilmu dan pengetahuan secukupnya. Selepas tanggungjawab kita tertunai, inshaAllah yang selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk menjaga mereka.
Semoga bermanfaat. Wassalam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan