Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah
Kelang pastinya bukan asing kepada kita semua. Ia sememangnya merupakan
kawasan tumpuan masyarakat dari seluruh negara malah luar negara.
Kebanyakannya bekerja di sini, ada juga yang belajar, berniaga dan tidak
kurang juga yang melancong dan bersiar-siar. Dunia telah memperakukan
bahawa Kuala Lumpur adalah salah satu pusat membeli-belah terkenal di
dunia yang menawarkan pelbagai barangan pada harga yang berpatutan.
Selain itu, Kuala Lumpur dan Lembah
Kelang turut menawarkan pelbagai makanan yang diilhamkan daripada resipi
seluruh negara malah dari beberapa pelusuk dunia. Tidak boleh dinafikan
bahawa makanan merupakan antara industri berskala besar di Kuala Lumpur
yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi.
Oleh itu, di sini disenaraikan 10 tempat
makan meliputi pelbagai genre makanan yang dirasakan antara yang
terbaik. Namun ia tidak berdasarkan “ranking”.
Restoran Murni Bukit Jalil
41, Jalan 16/155C, 57000 Bukit Jalil, Kuala Lumpur
Sekiranya anda berjalan-jalan di sekitar
Bukit Jalil dan tiba-tiba terasa lapar, kini terdapat satu lagi pilihan
tempat makan yang amat menyelerakan iaitu Restoran Murni. Sebenarnya
Restoran Murni ini adalah salah satu cawangan daripada Restoran Murni yang terletak di SS2 Petaling Jaya. Menu yang ditawarkan juga hampir sama.
Restoran Murni ini
menawarkan makanan barat (western food), makanan ala thai dan pelbagai
lagi menu yang sesuai untuk disajikan kepada seisi keluarga. Antara menu
yang disarankan oleh pengunjung-pengunjung tetap restoran ini adalah
Mee Raja dan juga Spagheti Seafood Carbonara yang dianggap antara menu
tersohor di sini.
Selain itu, makanan barat seperti
Chicken Grill juga boleh didapati pada harga yang berpatutan dan cara
hidangannya amat impresif dan membuka selera. Makanan barat lain turut
memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Roti Hawaii yang berkonsepkan
roti canai / murtabak dan pizza ini pula merupakan menu yang sungguh
jarang didapati di tempat lain.
Makanan Melayu seperti nasi lemak juga
dihidangkan dengan cara yang tersendiri. Biasanya ia disertakan dengan
pilihan rendang daging dan ayam. Bagi yang menggemari nasi lemak, nasi
lemak di sini tidak mungkin mengecewakan.
Satu perkara yang menjadi buah mulut
dikalangan pengunjung adalah perkhidmatannya yang boleh dianggap
berkualiti kerana makanan disediakan dalam masa yang pantas. Layanan
juga dikatakan kelas pertama. Bagi mereka yang benar-benar kelaparan,
anda tidak perlu memesan makanan lebih kerana restoran ini menghidangkan
dalam kuantiti yang banyak untuk setiap hidangan.
Sekiranya anda tersesat atau sememangnya berada di kawasan Bukit Jalil, restoran ini boleh menjadi salah satu destinasi anda.
Restoran Alissara (Thai Cuisine)
Cs23 Jalan Indah 3/2, Taman Puchong Indah, Puchong
Masakan Thai merupakan salah satu menu
kegemaran rakyat Malaysia di mana-mana saja. Restoran masakan Thai pula
tumbuh bagai cendawan tidak kira di kota mahupun di desa. Ada yang
berjaya menawan selera pelanggan malah ada juga yang suam-suam kuku.
Di Puchong, Restoran Alissara Thai Cuisine
boleh dianggap berada dalam kelasnya yang tersendiri. Bermula lebih 6
tahun dulu di Puchong Perdana, ia berkembang menjadi sebuah restoran
yang setanding dengan restoran Thai yang lain seperti Sabye Sabye Thai
atau Seri Thai. Restoran ini adalah eksklusif untuk makanan Thai.
Menunya meliputi hidangan ala carte
berbentuk nasi, bihun, mee dan sebagainya. Tidak kurang juga menu lauk
pauk seperti ikan kerapu masam manis, ikan siakap tiga rasa, pilihan
aneka tomyam dan menu masakan seafood seperti kerang-kerangan, siput,
lalah, udang serta sotong. Terdapat juga menu sayuran seperti kailan dan
kangkung. Menurut pelanggan-pelaggan tetap restoran ini, makanan di
sini mempunyai rasa Thai sebenar walaupun sedikit pedas. Cuma ada yang
memilih sup perahu pecah dan kari hijau berbanding tomyam.
Salah satu kelebihan yang sering disebut
berkenaan restoran ini adalah kesegaran makanan lautnya samada ikan,
udang, sotong, ketam mahupun apa saja.
Tahap perkhidmatannya juga agak baik dan
harganya walaupun tidak semurah warung tetapi masih menjimatkan
berbanding restoran makanan Thai yang termasyhur. Tidak hairanlah jika
restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan dan menjadi pilihan utama.
Ada yang menganggap Restoran Alissara ini adalah restoran makanan Thai
terbaik di Puchong.
Satay Willy
Sungai Ramal Food Junction, Kajang
Sate Kajang pastinya
bukanlah nama yang asing dikalangan rakyat Malaysia. Daripada
kanak-kanak sehinggalah yang tua pasti tahu dan pernah merasakan
keenakan sate Kajang. Apabila berbicara tentang sate Kajang, tidak dapat
tidak nama Haji Samuri akan menjadi bualan. Namun di Sungai Ramal Food Junction, terdapat Satay Willy yang semakin mencipta nama.
Beroperasi bermula sebelah petang,
barisan beratur akan mula panjang selepas jam 6 petang dan mencapai
kemuncak pada jam 8 malam. Sate yang dihidangkan di sini sangat ‘juicy’
dan lembut dan begitu mudah memikat selera siapa saja yang merasainya.
Dengan harga yang amat berpatutan iaitu bermula daripada 70 sen, ia
pastinya berbaloi untuk dicuba.
Gerai Satay Willy ini
menawarkan aneka pilihan sate berserta set lengkapnya seperti timun dan
bawang serta kuah yang pekat dan sedap. Juga terdapat lontong iaitu nasi
impit berbalut daun pisang berbentuk lemang yang amat mengenyangkan.
Keenakan Satay Willy ini dikatakan setaraf dengan satay Haji Samuri
malah ada pelanggan yang tidak ragu-ragu mengatakan Satay Willy lebih
sedap dan berbaloi.
Oleh kerana kedudukannya di ‘food
junction’ maka makanan lain turut terdapat daripada gerai yang lain
untuk variasi. Minuman juga boleh dipesan dari mana-mana gerai minuman
yang ada di situ.
Mali’s Corner
Taman Bunga Raya, Jalan Malinja 2,
Taman Bunga Raya, Setapak Kuala Lumpur
Kuala Lumpur menjanjikan makanan yang terbaik walaupun berasal daripada tempat lain. Char kuey teow
yang berasal daripada Pulau Pinang masih boleh dinikmati ketulenannya
di Mali’s Corner, Setapak. Melihat barisan yang panjang untuk memesan
sudah cukup menggambarkan keenakan makanan tersebut. Tidak mungkin
pelanggan sanggup beratur begitu panjang jika hidangannya tidak
berbaloi.
Mali’s Corner Taman Bunga Raya
ini selain menawarkan char kuey teow turut juga memiliki menu nasi
lemak ayam goreng yang tidak kurang hebatnya. Rasa char kuey teow di
sini amat sedap dan menyelerakan dengan kuah yang berperisa dan juga
udang yang segar. Sambal nasi lemaknya sedikit manis tetapi masih lagi
mampu mengecurkan liur dengan ayam berempah yang berperisa. Walaupun
barisan menunggunya agak panjang, namun servis gerai ini amat baik
kerana mereka memiliki pekerja yang ramai.
Mali’s Corner kini memiliki beberapa
lagi cawangannya ditempat-tempat yang lain untuk memberikan rasa char
kuey teow Pulau Pinang sebenar kepada penduduk Kuala Lumpur.
Salah satu kelemahannya adalah pelanggan
terpaksa beratur untuk char kuey teow, nasi lemak dan minuman. Ini
bererti pelanggan yang keseorangan perlu beratur beberapa kali untuk
mendapatkan sajian lengkap.
Untuk lebih selesa mungkin anda boleh
pergi ke cawangan di Petaling Jaya. Ianya di dalam kedai dan suasananya
lebih menarik. Alamat cawangan di Petaling Jaya adalah di Jalan PJS
4/27a (Jalan PJS 2d/1), 46000 Petaling Jaya, Selangor.
Restaurant Rosdet Tomyam
160, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur, Kampung Baru, 50300, Kuala Lumpur
Tomyam Kampung Baru,
satu istilah yang amat sebati di kalangan penggemar-penggemar tomyam
sekitar Kuala Lumpur dan juga di kalangan pengunjung-pemgunjung dari
luar. Maka tidak hairanlah sekiranya restoran tomyam sekitar Kampung
Baru sering dipenuhi pelanggan terutamanya pada musim cuti. Antara
restoran yang memikat selera adalah Restoran Rosdet Tomyam yang terletak
bersebelahan KL International Hotel.
Tarikan tomyam restoran ini amat kuat
sehingga ada pengunjung dari luar yang sanggup “check-in” di hotel KLI
semata-mata kerana tomyam tersebut. Tomyam di sini boleh dipesan dalam
pelbagai kombinasi samada tomyam ayam, daging, seafood, udang atau apa
saja yang berkenan di hati. Kuahnya juga amat unik dan hanya boleh
dirasai di restoran ini. Rasa tomyam yang pekat, pedas dan masam
secukupnya membuatkan anda akan datang lagi tanpa berfikir panjang.
Selain tomyam yang merupakan mercu tanda
restoran ini, ia juga menghidangkan makanan laut yang enak serta juga
masakan Thai yang boleh dikategorikan sebagai “excellent”. Sup campur
dan sup sayurnya juga berada dalam tahap memukau. Satu lagi menu yang
kerapkali menambat selera pengunjung-pengunjung tetap adalah nasi bubur
berlauk yang amat memuaskan. Jika anda memesan teh atau kopi halia di
restoran ini, jangan terkejut sekiranya anda akan mendapat seketul halia
segar di dalam minuman anda.
Harga makanan di sini juga berpatutan
kerana ia dihidangkan agak banyak. Oleh itu, ia adalah tempat makan
keluarga yang paling sesuai. Persekitarannya juga amat bersih dan
servisnya juga boleh dianggap baik jika dilihat kepada tahap kesibukan
di restoran ini.
Warung Dusun Gearbox
Persiaran Jaya (Seksyen 9), 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Terdapat beberapa premis masakan sup di
Lembah Kelang yang menawarkan sup daging, sup tulang dan sup ayam yang
terbaik. Namun sup gearbox warung Dusun di Bangi ini
tidak boleh ditandingi mana-mana sup yang lain. Sup tulang kaki atau
gearbox di sini amat menyelerakan dan digemari penduduk tempatan mahupun
pengunjung dari luar.
Supnya yang berperisa, daging yang
lembut membalut tulang serta sum-sum dalam tulang yang amat sedap. Di
sini, anda boleh melihat setiap meja pasti ada semangkuk besar sup
gearbox lengkap dengan penyedut minuman untuk menyedut kuah dan sum-sum.
Ada pengunjung yang menyedut hingga pening lalat. Lupakan seketika
masalah lain kerana sup di sini memang terbaik untuk dinikmati.
Bagi pelanggan yang tidak gemarkan sup,
di sini juga terdapat makanan lain seperti mee, kueyteow, bihun malah
nasi serta lauk pauk yang juga membuka selera. Ikan bakarnya juga tidak
menghampakan. Terdapat ikan siakap, kembung dan bermacam-macam lagi
tetapi rata-rata pengunjung memilih ikan pari bakar yang dianggap
“marvellous”. Tomyam di sini juga boleh dilabelkan sebagai antara yang
terbaik.
Persekitaran warung ini amat menyegarkan
dan menarik kerana ia di kelilingi oleh gerai-gerai otak-otak, tauhu
bakar dan ikan bakar serta bermacam-macam lagi juadah untuk dinikmati
secara santai. Otak-otak di sini boleh diangkat setaraf dengan otak-otak
Gelang Patah yang popular dari Johor tersebut. Ini juga adalah salah
satu menu istmewa yang mesti dicuba di warung dusun bangi ini.
Harganya, pastinya lebih murah
berbanding restoran tomyam yang lain di sekitar Bangi. jadi sekiranya
anda di Bangi atau dalam perjalanan melalui Bangi, amat wajar untuk
singgah dan menikmati sup gearbox dan otak-otak di Warung ini.
Burger Bakar Abang Burn
Dagang Avenue (Jalan B/3A, Taman Dagang), 68000 Ampang, Selangor
Burger, burger, burger. Antara menu yang
paling popular di dunia. Hampir setiap individu di dunia tahu apa itu
burger. Burger adalah antara sajian lengkap yang mempunyai karbohidrat,
protein dan sayuran dalam satu hidangan yang sama malah boleh dikatakan
dalam setiap gigitan. Malah ia adalah sajian yang ringkas, cepat dan
mobil. Kini burger diinovasikan dalam pelbagai cara dan perisa mengikut
selera masyarakat setempat.
Di Malaysia ketika ini, burger bakar mula menjadi bualan dan amat digemari dimana saja. Burger Bakar Abang Burn
merupakan salah satu perintis kepada fenomena ini. Kedai mereka di
Ampang boleh dianggap ibu pejabat kepada lebih 19 cawangan yang
beroperasi kini kerana di sinilah sejarah kedai burger ini bermula.
Menurut penggemar-penggemar burger bakar, Abang Burn adalah penyaji
burger bakar terbaik dalam kelasnya.
Burger yang disajikan mempunyai patti
daging yang lembut dan berjus dengan roti juga lembut dan berperisa.
Ayamnya juga garing dengan isi yang basah dan berempah. Sosnya juga tak
terlalu meleleh dan memintas selera. Setiap gigitan membuatkan kita
seolah-olah melantun ke udara. Ditambah dengan sayuran yang segar dan
bersih. Saiznya juga seimbang dan tidak keterlaluan. Pendek kata burger
bakar Abang Burn ini hampir sempurna.
Selain burgernya yang enak, kedai ini
turut menyajikan meatball ala IKEA yang “outstanding”. Hidangan ini juga
boleh dianggap ‘killer’ di sini. Dagingnya begitu baik diperisakan
dengan rempah ratus yang rahsia. Jika dimakan dalam kuahnya yang unik,
sememangnya satu kombinasi yang terbaik.
Harganya pastilah amat berbaloi dan
servis yang pantas menyumbang kepada permintaan yang amat tinggi. Jika
anda lambat, pasti terperangkap dalam barisan yang panjang. Boleh juga
baca artikel kami Burger Bakar Abang Burn di Ramal Junction di sini.
IKEA Food Court@Mutiara Damansara
No.2 Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara, 47800 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
IKEA merupakan sebuah pasaraya perabot
dari Sweden yang tidak asing dikalangan warga negara ini. Perabotnya
yang moden dan ringkas menarik perhatian masyarakat Malaysia. Namun IKEA
bukan saja pengeluar perabot yang baik tetapi juga menyajikan makanan
yang baik. Di tingkat bawahnya, terdapat “food court” yang menghidangkan
makanan ala Eropah yang popular. Menu di sini terdiri daripada savouri
dan pencuci mulut yang amat enak. Ia juga dihidangkan dengan amat
kreatif dan menarik. Terdapat kek ala Eropah (terutamanya Sweden),
masakan salmon dan beberapa lagi menu Scandinavian yang enak-enak
belaka.
Daripada kebanyakan menu yang
ditawarkan, paling popular semestinya “meatball” yang dihidangkan dalam
sos yang tersendiri. Dikenali sebagai Swedish Meatball, ia merupakan “signature dish” di sini. Malah dianggap antara “meatball” terbaik di Lembah Kelang.
Di mana-mana sahaja, pasti Swedish
Meatball ini akan menjadi bandingan sekiranya membabitkan hidangan
“meatball”. Boleh dikatakan majority pelanggan ke “food court” ini malah
pengunjung IKEA tidak akan melepaskan peluang menikmati hidangan ini.
Ada juga kalangan yang sengaja datang semata-mata untuk makan di “food
court” ini.
Untuk berlaku adil, makanan lain di sini juga tidak mengecewakan.
Restoran Nelayan Titiwangsa
Taman Tasik Titiwangsa, Jalan Temerloh, 53200 Kuala Lumpur
Taman Tasik Titiwangsa amat dikenali
sejak dulu sebagai salah satu tempat pelancongan menarik untuk dilawati.
Berhampiran taman ini juga terdapat beberapa tempat tarikan pelancong
seperti Istana Budaya dan juga Galeri Seni Kebangsaan. Jika anda mahukan
pemandangan indah berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas,
pastinya di sinilah tempat terbaik.
Satu tarikan utama sejak dulu di sini adalah Restoran Nelayan
yang menghidangkan makanan laut serta masakan Melayu sejati dalam
persekitaran yang nyaman seolah-olah terapung di atas tasik. Pada waktu
tengahari, hidangan makanan laut ala melayunya amat memikat dihidangkan
secara ala carte dan juga lunch buffet. Pada malamnya pula, restoran ini
menghidangkan steamboat pada harga yang amat berpatutan. Walaupun ada
yang berpandangan sup steamboat di sini sedikit pedas, namun masih
antara yang terbaik di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur. Pilihan
komponen steamboatnya tidaklah terlalu banyak dan bervariasi tetapi
masih berbaloi dengan harganya yang murah. Selain steamboat, terdapat
juga menu ala carte dan pencuci mulut tradisional yang menyelerakan.
Restoran ini amat sesuai untuk
perhimpunan keluarga atau pertemuan semula sesama sahabat kerana
persekitarannya yang santai. Malah terdapat juga dewan yang besar untuk
majlis-majlis keramaian ataupun makan malam syarikat. Kemudahan bersolat
juga terdapat di sini bagi memastikan pelanggan tidak perlu risau
dengan ketibaan waktu solat. Melihat persekitaran dan suasana di sini
pada waktu malam, sangat terasa keharmonian dan menampakkan betapa
gembira dan bahagianya pelanggan-pelanggan di sini.
Jadi, bersiar-siar di Tasik Titiwangsa boleh dilengkapkan lagi dengan steamboat Restoran Nelayan ini.
SABA Restaurant (Cyberjaya)
4800 Suite 0-2, G-Floor, Block A1 (Jalan Perdana), 63000 Cyberjaya, Selangor
Daripada sepuluh penggemar nasi Arab, lapan orang memilih nasi Arab Restoran Saba’ Cyberjaya
yang dianggap sebagai nasi Arab terbaik di Lembah Kelang. Makan di sini
seolah-olah anda berada di Timur Tengah dengan menunya yang
melambangkan keenakan makanan Arab.
Terdapat pelbagai menu yang boleh dicuba
bermula daripada Thanoush, Kebab, Khabshah, Mandy sehinggalah kepada
Hanith yang boleh dipilih samada ayam atau kambing, semuanya
menyelerakan. Pengunjung di sini tidak dapat bersatu memberikan saranan
menu terbaik kerana semuanya boleh dianggap terbaik tetapi mereka
bersatu menyatakan bahawa makanan di sini amat enak dan sangat terasa
“arab”nya. Sungguhpun begitu, hidangan pencuci mulut seperti baklava
dianggap biasa dan tidak setanding hidangan yang lain.
Hidangannya pula adalah di dalam
“portion” yang besar sehingga ada yang mencadangkan anda berkongsi
pinggan. Ada sesetengah pelanggan menganggap kadar harganya agak tinggi
terutamanya bagi menu kambing. Manakala daripada segi perkhidmatannya,
menu panggang dikatakan mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar 30
ke 40 minit untuk disiapkan.
Walau apapun, kualiti masakan Arab di sini masih berbaloi untuk dicuba. Boleh baca di sini tentang nasi arab Saba
……………………………………………………………………….
Tempat-tempat makan yang disenaraikan di
atas bukanlah muktamad dan kemungkinan masih banyak tempat yang lebih
baik. Namun sedikit sebanyak ia boleh memberi gambaran kepada penduduk
mahupun pengunjung dari luar untuk mendapatkan makanan terbaik di Kuala
Lumpur mengikut selera dan lokasi masing-masing. Anda tidak perlu
bimbang kerana Kuala Lumpur tidak pernah menghampakan untuk mendapatkan
makanan terbaik yang berasal dari seluruh pelusuk Negara.
Pendek kata, dari mana anda datang, apa saja yang anda idamkan, hanya perlukan sedikit kesungguhan mencarinya.
Copy Paste: http://saji.my/tempat-makan-menarik-dan-best-di-kuala-lumpur/